Diabetes Ketika Hamil: Punca & Kesannya – By Dr. Muhammad Izzat
Diabetes yang bermula apabila anda disahkan mengandung dikenali sebagai Gestational Diabetes. Ianya terjadi apabila terdapat kerintangan Insulin – sejenis hormon yang dihasilkan oleh badan manusia untuk mengawal atur kawalan paras gula di dalam darah, untuk memenuhi keperluan ketika mengandung. Hasilnya, paras gula di dalam darah meningkat.
Pada kebiasaannya, keadaan Gestational Diabetes terjadi pada pertengahan ataupun pada lewat usia kandungan.
Keadaan Gestational Diabetes ini kerap berlaku. Kadar kebiasaannya, dalam 100 orang wanita mengandung, 18 orang akan menghidapi penyakit ini. Dalam erti kata lain, 18 % wanita mengandung akan ‘dihantui’ dengan masalah ini. Amat biasa bukan?
Apakah risiko-risiko bagi saya untuk menghidapi Diabetes ketika hamil?
Anda berisiko tinggi menghidapi Diabetes ketika mengandung, jika anda mempunyai salah satu daripada faktor-faktor yang tertera di bawah:
- Indeks Jisim Badan (BMI) adalah 30 ataupun lebih
- Sejarah kelahiran bayi besar, melebihi 4 kg ataupun lebih
- Sejarah kandungan yang mempunyai Diabetes ketika mengandung
- Ibu bapa, adik-beradik yang juga mempunyai Diabetes
Bagaimana saya tahu jika saya mempunyai kencing manis dalam kehamilan?
Jika anda mempunyai salah satu faktor seperti yang tertera, anda akan menjalani ujian toleransi glukosa (GTT) ketika mengandung. Ini adalah sejenis ujian mudah yang dijalankan pada awal peringkat kandungan dan akan diulang pada usia kandungan 24 hingga 28 minggu.
Ujian toleransi glukosa GTT memerlukan anda untuk berpuasa semalaman iaitu tidak makan atau minum, kecuali air kosong/ air mineral sahaja.
Pada awal pagi nya, sebelum anda menikmati sarapan, ujian darah akan dijalankan terlebih dahulu. Kemudian anda akan diminta untuk menghabiskan larutan gula yang berperisa Oren atau Cola.
Kemudian, ujian darah akan diulang sekali lagi selepas 2 jam anda menikmati larutan gula ini. Mudah bukan?
Jika anda menghidapi kencing manis pada kandungan sebelumnya, anda akan diminta membuat ujian toleransi glukosa GTT ini pada lebih awal kandungan untuk pengesanan awal Diabetes ketika mengandung, justeru dapat mengawal atur paras gula di dalam darah. Kawal atur gula di dalam darah pada peringkat awal mengandung adalah teramat penting dalam tempoh pembentukan organ-organ penting bayi anda pada ketika ini dan mengurangkan komplikasi Diabetes pada bayi dan juga ibu. Jika keputusan ujian toleransi glukosa GTT normal, ujian ini perlu diulang pada usia kandungan 24 hingga 28 minggu kandungan.
Apakah kesan kencing manis pada kehamilan saya?
Kebanyakan ibu yang menghidapi Diabetes ketika mengandung ini tidak mempunyai masalah sepanjang proses kehamilan dan rata-rata melahirkan bayi yang sihat dan comel, tetapi terdapat segelintir kes Diabetes ini membawa masalah yang serius pada ibu dan juga bayi, lebih-lebih lagi jika Diabetis tidak dikesan awal dan dirawat dengan optimum. Kebolehan untuk mengesan awal Diabetes ketika mengandung dan mengawal atur paras gula dengan optimum dapat mengurangkan banyak risiko serta komplikasi yang berkaitan.
Amatlah penting ibu-ibu sekalian memastikan paras glukosa di dalam darah terkawal. Jika paras gula di dalam darah ibu kekal tinggi dan tidak terkawal, bayi akan memberikan respon kepada paras gula yang tinggi ini dengan menghasilkan lebih banyak insulin, di mana bayi anda akan membesar secara berlebihan di dalam rahim, seterusnya anda akan diminta untuk bersalin lebih awal daripada tarikh dijangka bersalin (induction), juga terdapat risiko berakhir dengan pembedahan caesaerean akibat daripada bayi besar ataupun kegagalan proses induksi (induction). Jika anda bersalin biasa pula, risiko bahu bayi tersangkut ketika kelahiran normal dan kecacatan saraf mungkin berlaku.
Risiko kematian bayi di dalam rahim (in utero death) secara mengejut juga meningkat jika paras gula di dalam darah tidak dikawal.
Bayi anda yang menghasilkan lebihan hormon insulin tadi turut akan mengalami paras gula rendah pula selepas kelahiran. Maka, bayi anda perlu dimasukkan dalam wad rawatan rapi bayi untuk pemerhatian oleh pakar paediatrik.
Bayi yang dilahirkan oleh ibu yang mempunyai kencing manis juga mempunyai risiko menghidap kencing manis dan masalah kegemukan bila ianya meningkat dewasa kelak.
Maka, ibu-ibu perlu mengawal paras gula di dalam darah dalam proses kehamilan dan proses kelahiran untuk mengurangkan risiko dan komplikasi pada ibu dan juga bayi anda.
Bagaimanakah Diabetes ketika hamil dirawat?
Jika anda menghidapi Diabetes ketika mengandung, anda perlukan rawatan susulan oleh pakar perbidanan dan sakit puan, pakar perubatan/ endokrinologi, pegawai zat makanan dan jururawat diabetes. Anda akan diminta supaya membuat rawatan susulan lebih kerap untuk pemeriksaan.
Yang penting ketika menghidapi Diabetes adalah memastikan tabiat permakanan yang sihat dan senaman. Kebiasaanya Diabetes ketika mengandung dapat dikawal dengan kawalan diet atau permakanan sahaja.
Walau bagaimanapun, daripada 5 ibu yang menghidapi Diabetes, seorang ibu memerlukan rawatan Insulin untuk mengawal paras gula di dalam darah. Jika anda memerlukan rawatan insulin, jururawat Diabetes akan menerangkan kepada anda bagaimana anda boleh melakukannya.
Ibu-ibu tidak perlu risau, seharunya kesempatan ini diambil untuk berbincang dengan pegawai zat makanan/ dietitik mengenai pemilihan makanan yang berkhasiat untuk anda dan bayi anda, dalam masa yang sama dapat mengawal paras gula pada tahap yang memuaskan.
Dr. Muhammad Izzat adalah seorang registrar obstetrik dan gineakologi yang bertugas di sebuah hospital di Kuala Lumpur.
Rujukan:
- Royal College of Obstetricians & Gynaecologist United Kingdom
Tiada ulasan:
Catat Ulasan